Follow Us

The Best Cloth For Women!


Inilah antara senario yang selalu ada dalam masyarakat kita.
Sepatutnya pakaian yang mereka pakai samada ke tempat kerja, belajar, beraktiviti atau bersantai boleh dijadikan pakaian untuk solat juga.  Kaum lelaki mungkin jarang kita jumpa seperti senario di atas.
 Biasanya senario tersebut berlaku di kalangan Muslimah.
Ramai wanita tidak berasa yakin dengan pakaian yang mereka pakai untuk dijadikan sebagai pakaian untuk solat.  Kerana apa?
Kerana mereka sendiri sedar bahawa pakaian tersebut tidak memenuhi tuntutan syara`.  Antaranya kerana nipis, ketat, sendat, mendedahkan aurat sebahagiannya dan lain-lain lagi.  Itu bermakna mereka tidak menutup aurat sepenuhnya ketika berpakaian harian.  Dan ini ternyata suatu yang dilarang agama dan berdosa.


Buat wanita yang berpakaian menutup aurat secara sempurna, kalian sudah boleh mengerjakan solat dengan pakaian tersebut.  Tidak perlu telekung lagi. Tidak perlu bawa beg telekung lagi.  Dan tak perlu meminjam telekung yang berbau kurang enak yang selalu terdapat di surau-surau lagi.
Dengannya juga para muslimah terhindar dari sifat menangguhkan solat yang selalu mereka lakukan lantaran tiada telekung untuk digunakan.  Sekaligus, dapat mengecap pahala amalan utama iaitu mengerjakan solat pada awal waktu di tempat yang sesuai dengan berpakaian harian yang menutup aurat dengan sempurna.
Islam ini mudah.  Apabila kalian tidak mengikuti ajaran Islam sepenuhnya, bermakna kalian menyusahkan diri kalian sendiri.  Bertelekung ketika solat adalah antara kelecehan yang dicipta sendiri oleh wanita dan ia merupakan paradigma wanita Melayu.  Kefahaman agama boleh menganjakkan kalian dari paradigma tersebut.

Lelaki Melayu dulunya juga berparadigma bahawa apabila mahu solat, mesti dengan kain pelikat dan baju Melayu.  Kini mereka telah menganjak keluar dari paradigma itu.  Ramai dengan selamba memakai seluar panjang, baju-T dan tanpa kopiah mengerjakan solat.  Ini memudahkan mereka.


Wanita juga boleh menganjakkan paradigma seperti yang telah disebut di atas. Asalkan faham tuntutan agama dan tepatinya, in shaa’ ALLAH beres!
Tulisan ini bukan berniat mahu menyuruh muslimin meninggalkan jubah dan serban, dan muslimah meninggalkan telekung yang berwarna putih ketika bersolat.  Tetapi ia sekadar solusi mudah dan cepat buat Muslim dalam keadaan-keadaan tertentu.  “Mudahkanlah, janganlah disusahkan.”
Dan yang lebih utama dari tulisan ini ialah untuk mengajak kita semua (terutamanya Muslimah) bermuhasabah mengenai pakaian harian kita, samada ia sudah betul-betul menepati tuntutan syara` sehingga ia boleh dijadikan sebagai pakaian solat?  Atau tidak?

Semoga kita semua dikurniakan hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin…

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...